KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini meneraju usaha untuk meletakkan ASEAN di barisan hadapan rantaian bekalan semikonduktor global dan kemajuan teknologi.
Satu pencapaian penting telah diraih minggu ini menerusi penganjuran Bengkel mengenai Peningkatan Industri Semikonduktor ke-2 dan Menghubungkan Rangkaian Rantaian Bekalan Semikonduktor yang berlangsung di Pusat Konvensyem Antarabangsa Langkawi (LICC).
Naib Canselor UKM Profesor Dr Sufian Jusoh berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan ASEAN sebagai hab global utama bagi pembangunan semikonduktor kerana sumber dan potensi strategik yang terdapat di rantau tersebut.
"Matlamatnya adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai kuasa besar dalam semikonduktor di pasaran global memandangkan rantau ini dilengkapi bahan tambahan yang dapat disumbangkan untuk pembangunan awal semikonduktor," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bengkel itu berakhir dengan persetujuan bersama tentang kepentingan tindakan berkoordinasi di peringkat ASEAN.
"Bengkel itu berakhir dengan konsensus yang kuat mengenai keperluan kritikal untuk penyelarasan meluas di seluruh ASEAN dalam usaha memajukan keupayaan semikonduktor rantau ini.
Bengkel dua hari itu menghimpunkan pembuat dasar utama, ahli akademik dan pakar industri dari semua negara anggota ASEAN bersama-sama peserta jemputan dari United Kingdom, Singapura serta Taiwan.
Dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di UKM serta ERIA, acara itu memfokus kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau bagi membina ekosistem semikonduktor yang lebih lebih bersepadu, berdaya tahan dan berdikari di Asia Tenggara.
Tumpuan utama termasuk pembentangan dan pengesahan laporan pembangunan semikonduktor negara, pertukaran ilmu mengenai amalan terbaik antarabangsa dan pengenalan rangka kerja serantau yang bersejarah bagi meningkatkan kerjasama di seluruh rantai nilai semikonduktor.
Sufian berkata rangka kerja itu akan melalui penambahbaikan lanjut menerusi konsultasi pakar terpilih sekali gus membuka ruang kepada penggunaannya oleh negara anggota.
“Antara inisiatif rintis yang dicadangkan ialah pusat reka bentuk bersama, hab R&D serantau dan program bagi mempromosi mobiliiti bakat digital merentasi sempadan," katanya.
Rangka kerja yang dicadangkan, dibina berdasarkan tujuh teras utama yang mewakili lebih daripada sekadar hala tuju dasar, menggambarkan komitmen utuh kepada kerjasama, ketahanan dan inovasi.
Dengan semikonduktor memainkan peranan yang penting dalam teknologi daripada telefon pintar hingga rangkaian pintar, pendekatan bersatu ASEAN dapat menandakan langkah transformatif bagi memperkukuh kedaulatan teknologi serantau.
-- BERNAMA