JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH PERSEKUTUAN BENARKAN RAYUAN SIS FORUM

19/06/2025 12:47 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

Dalam menyampaikan penghakiman majoriti, Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa ungkapan “menganuti agama Islam” yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hanya merujuk kepada ‘orang sebenar’ (natural persons) dan bukan kepada entiti ‘buatan/tiruan’ (artificial) seperti sebuah syarikat.

“Kami membenarkan rayuan perayu-perayu (SIS Forum dan Zainah) setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi, dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan,” katanya.

Lain-lain hakim dalam panel itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Rayuan itu pada mulanya didengar oleh panel lima hakim, namun Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil telah bersara.

Penghakiman hari ini disampaikan mengikut Seksyen 78(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim yang tinggal untuk menyampaikan penghakiman.

SIS Forum telah berusaha untuk membatalkan fatwa 2014, yang mengisytiharkan organisasi itu menyimpang atas alasan ia didakwa menganut ideologi "liberalisme" dan "pluralisme agama."

Pertubuhan berkenaan sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undangnya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan antara 2019 dan 2023.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan