KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan perkhidmatan pada Ahad ini.
Saifuddin menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat daripada Razarudin di pejabatnya petang tadi, sempena persaraan KPN.
“Dalam pertemuan penuh mesra dan hormat ini, saya berpeluang menyampaikan secara peribadi penghargaan serta ucapan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti Tan Sri sepanjang menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya sepanjang tempoh beliau memimpin pasukan sebagai Ketua Polis Negara.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memperlihatkan kepimpinan yang berwibawa, tegas dalam prinsip, namun sentiasa berjiwa rakyat,” katanya.
Sementara itu, PDRM menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan Razarudin turut menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, sempena penamatan kontraknya.
Istiadat menghadap itu berlangsung masing-masing di Istana Hinggap Perak dan Istana Hinggap Terengganu, di sini, hari ini.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
-- BERNAMA