EKONOMI

AGROBANK BUKA PENYERTAAN ANUGERAH AGRO BIZ 2025, IKTIRAF KECEMERLANGAN PESERTA INDUSTRI

18/06/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Agrobank hari ini mengumumkan penyertaan bagi Anugerah Agro Biz 2025 akan dibuka bermula hari ini sehingga 31 Julai, 2025.

Bank tersebut menerusi satu kenyataan hari ini berkata, anugerah itu bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang pemain industri dalam komuniti tani (komuniti pertanian).

Anugerah tersebut yang disasarkan kepada perniagaan dan usahawan merentas pelbagai sektor komuniti tani akan menampilkan lima kategori utama, iaitu Anugerah Agrobank SME of the Year, Agrobank Biz Women, Agrobank Biz Youth, Agrobank Biz Innovation dan Agrobank Biz Disability Empowerment.

“Anugerah Agrobank SME of the Year mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menunjukkan kecemerlangan dalam operasi perniagaan mereka, manakala Anugerah Agrobank Biz Women mengiktiraf usahawan wanita yang merintis dan membimbing wanita lain yang terlibat dalam aktiviti perniagaan merentas keseluruhan rantaian bekalan makanan.

“(Bagi kategori ketiga), Agrobank Biz Youth pula mengiktiraf usahawan muda berusia antara 18 dan 40 tahun yang meneraju sektor pertanian dan agrimakanan dalam usaha meningkatkan penglibatan golongan belia,” katanya.

Agrobank berkata Anugerah Agrobank Biz Innovation memberi pengiktirafan terhadap individu, syarikat atau organisasi yang menunjukkan inovasi cemerlang dalam meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian dan agrimakanan.

“(Sementara itu), Anugerah Agrobank Biz Disability Empowerment mengiktiraf usahawan kurang upaya sebagai simbolik penghargaan atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam sektor pertanian dan agrimakanan,” katanya.

Peserta yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan melalui portal rasmi bank itu  di www.agrobank.com.my.

"Selain itu, borang permohonan juga boleh didapati di cawangan Agrobank seluruh negara. Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke cawangan Agrobank berhampiran bersama-sama dengan dokumen sokongan yang diperlukan," katanya.

Menurut bank itu, para peserta dikehendaki mengemukakan laporan pencapaian komprehensif yang menunjukkan kesan positif perniagaan mereka dalam sektor pertanian dan agrimakanan.

“Sebagai bahan sokongan, para peserta perlu menyediakan video penyertaan tidak melebihi tiga minit. Calon yang disenarai pendek akan dihubungi untuk menghadiri sesi temu duga dan pembentangan bagi menyokong permohonan mereka.

"Semua kriteria kelayakan dan prosedur pencalonan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan," katanya.

Bagi maklumat lanjut, peserta yang berminat boleh menghubungi Agrobank melalui pusat hubungannya di 1-300-88-2476.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan