AM

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BERNAMA DIANUGERAHKAN "WOMEN OF THE DECADE" PADA WEF ASEAN 2025

19/06/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin merupakan antara penerima anugerah Women of the Decade pada Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025.

Presiden WEF ASEAN 2025 Datin Dr Hartini Osman ketika ditemui di luar acara itu berkata anugerah berkenaan mengiktiraf kepimpinan dan komitmen tidak berbelah bahagi Nur-ul Afida dalam memajukan industri media.

"Bagi pihak WEF, kami mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida. Beliau dianugerahkan Women of the Decade kerana kami melihat potensi dan pencapaian beliau  dalam bidang yang diterajuinya.

"Dengan anugerah ini, kami berharap ia akan menjadi motivasi kepada beliau untuk terus mengangkat martabat wanita bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia melalui media Bernama," katanya kepada Bernama di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini hari ini.

Bagaimanapun, Nur-ul Afida tidak dapat menghadiri majlis anugerah itu yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini, kerana beliau berada di St. Petersburg, Rusia bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA).

 Nur-ul Afida dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama pada 27 Feb tahun lepas. Sebelum itu, pada Okt 2023, beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan sejak ditubuhkan pada 1967.

Nur-ul Afida, tokoh yang berwibawa dalam bidang kewartawanan Malaysia, dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 16 Mei tahun lepas.

Sebagai pengiktirafan atas kepimpinan beliau yang cemerlang dan memberi inspirasi kepada pemimpin wanita generasi baharu dalam kewartawanan, beliau menerima Anugerah Luminary Media daripada Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) pada majlis Anugerah Jubli Intan kelab berkenaan, 27 Sept 2024.

Pada majlis hari ini, Dr Wan Azizah turut menyampaikan anugerah Women of the Decade kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad.

WEF ASEAN 2025 turut menganugerahkan Leaders of the Decade kepada Pengasas Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita Datuk Dr Hafsah Hashim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia Siti Fadilah Mohd Hood serta Pengasas bersama dan Timbalan Naib Canselor Binary University Puan Sri Prof Dr Rohini Devi Joseph menerima anugerah Iconic Women Creating A Better World for All.

Anugerah Exceptional Women of Excellence pula diberikan kepada Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN di MITI Dr Sugumari S. Shanmugam dan Presiden Cameroon African Women Entrepreneurship Program (AWEP) Dr Caroline Sack Kendem.

Bertemakan Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy, forum tiga hari hingga Sabtu itu meraikan peranan penting wanita dalam memacu pertumbuhan ekonomi global.

WEF ASEAN 2025, yang menumpukan kerjasama rentas sempadan, kepimpinan dan inovasi, mengetengahkan kisah kejayaan dan strategi yang mencerminkan impak pembangunan diterajui wanita.

Forum berkenaan juga menghimpunkan pemimpin wanita berpengaruh dari seluruh ASEAN dan luar rantau, menawarkan peserta ruang untuk berdialog secara bermakna, membina rangkaian strategik dan meneroka langkah baharu untuk meningkatkan peranan wanita dalam membentuk ekonomi masa depan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan