DUNIA

IRAN TERPUTUS KOMUNIKASI GLOBAL, LAPOR PEMANTAU INTERNET

19/06/2025 05:51 PM

TEHRAN, 19 Jun (Bernama-dpa) -- Rakyat Iran kini hampir terputus sepenuhnya daripada rangkaian komunikasi global susulan gangguan internet berskala besar yang melanda negara itu, menurut NetBlocks, sebuah organisasi pemantau keselamatan siber yang berpangkalan di London, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Metrik menunjukkan Iran kini berada di luar talian selama lebih 12 jam susulan pelaksanaan sekatan internet di peringkat nasional oleh pihak berkuasa,” menurut hantaran organisasi bukan berasaskan keuntungan itu di platform X awal Khamis.

Langkah itu terus menjejaskan akses orang ramai terhadap maklumat pada saat kritikal, menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, NetBlocks turut melaporkan bahawa data rangkaian menunjukkan Iran sedang mengalami gangguan internet hampir sepenuhnya.

Gangguan berlaku selepas beberapa siri gangguan separa sebelum ini dan dipercayai berkait rapat dengan ketegangan yang semakin memuncak dengan Israel, susulan serangan peluru berpandu antara kedua-dua negara sejak beberapa hari lalu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan