MELAKA, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menambah baik Garis Panduan Forensik Perhutanan sedia ada bagi memastikan aspek pengurusan tempat kejadian yang lebih praktikal dan relevan.
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim berkata penambahbaikan itu untuk memastikan pengendalian barang kes yang efisien dan kertas siasatan yang lebih mantap dapat diperoleh.
Beliau berkata penambahbaikan garis panduan itu melibatkan beberapa perkara antaranya pewujudan pelantikan Pegawai Sains sebagai Ketua Pasukan Forensik Perhutanan, tugas dan tanggungjawab Ketua Pasukan Forensik Perhutanan serta cara-cara pengurusan tempat kejadian dan juga sampel barang kes.
“Beberapa perkara telah dimansuhkan daripada garis panduan yang lama antaranya keperluan lakaran rajah kasar, keperluan mengambil sampel biologi, melaksanakan tinjauan akhir dan penilaian bukti fizikal.
“Garis baharu ini adalah pengemaskinian ke atas Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Bilangan 1 tahun 2017 Garis Panduan Forensik Perhutanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Memperkasakan Forensik Perhutanan di sini hari ini.
Terdahulu, Zahari menyempurnakan pelancaran Garis Panduan Forensik Perhutanan baharu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kimia Marhayani Md Saad dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal) Mohd Radhi Chu Abdullah.
Mengulas lanjut, Zahari berkata garis panduan itu adalah panduan bagi JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan forensik perhutanan bagi menjalankan penyiasatan kes kesalahan hutan di bawah akta berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata Sesi Libat Urus Memperkasakan Forensik Perhutanan adalah inisiatif hasil daripada Nota Kerjasama antara JPSM dan Jabatan Kimia Malaysia yang telah dimeterai pada 19 Oktober 2022.
“Sesi libat urus ini menjadi satu lagi bukti komitmen kedua-dua agensi memperkukuh keupayaan negara dalam bidang penguatkuasaan dan pemeliharaan khazanah hutan melalui pendekatan saintifik dan berasaskan data.
“Ia amat signifikan dalam memperkukuh penerapan sains forensik sebagai instrumen penting dalam penguatkuasaan undang-undang perhutanan, di samping menyumbang kepada tadbir urus hutan yang lebih telus, efisien dan berintegriti di Semenanjung selaras dengan visi baharu JPSM untuk menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari,” katanya.
Zahari berkata pendekatan saintifik ini bukan sahaja memperkukuhkan pembuktian di mahkamah, malah menjadi bukti pengurusan sumber asli kini beralih kepada model berasaskan teknologi dan kepakaran multidisiplin.
Beliau berkata bidang kerjasama antara JPSM dan Jabatan Kimia Malaysia ini meliputi pembangunan pangkalan data DNA tumbuhan bukan kayu, pembangunan kaedah analisa autentikasi dan penggredan produk gaharu untuk tujuan membantu penguatkuasaan dan perundangan perhutanan serta bantuan analisis forensik bagi membantu penguatkuasaan dan perundangan perhutanan.
-- BERNAMA