GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri hari ini bersetuju memperluas pemberian diskaun lima peratus untuk pembelian unit hartanah siap tidak terjual di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata syarat-syarat yang ditetapkan masih dikekalkan seperti yang dimumkan sebelum ini, iaitu pemberian diskaun itu adalah bagi tempoh setahun di bawah Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MOC).
"Ia juga terhad kepada pihak pemaju yang mengambil bahagian sahaja dan berdaftar dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
"Pemberian diskaun tertumpu kepada unit-unit dikenal pasti tidak terjual, maklumat berkaitan akan diperoleh daripada pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)," katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.
Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,796 unit kediaman dikenal pasti sebagai tidak terjual, melibatkan pelbagai jenis hartanah kediaman.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo mengumumkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi MOC, namun mengundang kritikan beberapa pihak sehingga tawaran berkenaan diteliti semula.
Tawaran diskaun itu antara beberapa insentif dalam dasar berkenaan yang berkuat kuasa 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, selain memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis D dengan harga siling maksimum RM400,000 dan pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.
-- BERNAMA