AM

GARIS PANDUAN KANDUNGAN BERKAITAN BUNUH DIRI MALAYSIA DITERIMA BAIK DI PERINGKAT GLOBAL

18/06/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Garis panduan pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri yang diperkenalkan Malaysia menerima maklum balas positif dari dalam dan luar negara, termasuk selepas dibentangkan di Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Pencegahan Bunuh Diri (IASP) 2025 di Vienna baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood berkata pendekatan kolaboratif antara doktor, pakar psikiatri, dan pengamal media dalam pembangunan garis panduan berkenaan menarik perhatian komuniti antarabangsa.

“Sambutan luar juga sangat memberangsangkan, mereka kagum bagaimana kita boleh bekerjasama antara doktor, psikiatri, dan media sebab seluruh dunia ada isu tentang mendapatkan kerjasama media,” katanya dalam program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Di peringkat tempatan, beliau berkata CMCF menerima banyak permintaan untuk mengadakan bengkel dan latihan hanya seminggu selepas garis panduan itu dilancarkan pada 3 Jun lepas. 

“Apabila kita mengadakan atau latihan bersama mereka dengan dialog interaktif, mereka boleh melihat kajian kes yang kita paparkan untuk memahami bagaimana kita boleh menghidupkan garis panduan ini dalam kerja seharian.

“CMCF tidak hanya membuat latihan dengan pengamal media sahaja tetapi juga mengadakan latihan dengan pempengaruh dan pencipta kandungan untuk membina pemahaman dalam kalangan semua,” katanya.

Mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan, Mediha berkata pihaknya lebih menekankan pendekatan mendidik dan membimbing komuniti, namun tindakan boleh dikenakan jika berlaku pelanggaran berulang.

“Sesiapa melihat kandungan melanggar garis panduan ini boleh buat aduan dan biro aduan akan melihat ia salah atau tidak.

“Lazimnya, kita akan memberi nasihat, cuma kalau kes berulang dan semakin lama semakin teruk, kita ada tawar denda sampai RM50,000 tetapi jarang sebab kami mahukan komuniti kita tahu sendiri perkara itu tidak elok,” katanya.

Belaiu berkata CMCF turut menjalankan libat urus bersama sekolah dan komuniti bagi menggalakkan rujukan kepada kandungan sahih serta membina budaya penyebaran kandungan yang beretika.

Beliau turut memaklumkan bahawa CMCF kini berbincang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkenalkan istilah baharu yang lebih sesuai bagi menggantikan penggunaan frasa “bunuh diri” dalam bahasa Melayu.

“Perkataan bunuh diri dalam bahasa Inggeris ialah ‘suicide’ tetapi dalam bahasa Melayu belum ada lagi perkataan yang boleh ganti bunuh diri,” katanya.

Garis panduan itu yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil  ialah inisiatif pertama seumpamanya di dunia, dibangunkan secara inklusif bersama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan, pengamal media, dan individu dengan pengalaman hidup sebenar, serta disokong menerusi proses perundingan awam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan