KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pemenang pingat gangsa acara tiga meter (m) papan anjal Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim antara muka baharu yang disenaraikan Renang Malaysia (MS) pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini.
Selain Nurqayyum Nazmi yang melakar kejayaan pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia di Rio de Janeiro, Brazil tahun lepas, MS turut menyenaraikan empat penerjun lelaki iaitu Enrique Maccartney Harold, Elvis Priestly, Yong Rui Jie dan Muhammad Syafiq Puteh bersama-sama dua atlet wanita Pandelela Rinong dan Lee Yiat Qing.
Pengarah Teknikal Skuad Terjun Kebangsaan Yeoh Ken Nee berkata kesemua atlet itu dipilih selepas mereka berjaya melepasi skor kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan dalam acara masing-masing.
“Kini semuanya berdasarkan data. Jadi, kalau penerjun kita tak capai MQS yang ditetapkan, kita tidak akan hantar mereka sebab sekarang Majlis Sukan Negara (MSN) nak keputusan.
“Sekarang ini tidak macam dulu, pergi kejohanan dunia bukan sekadar kutip pengalaman tetapi membuktikan anda berharga kepada negara anda,” katanya pada sidang media MS di Pusat Akuatik Nasional di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ken Nee meletakkan sandaran kepada gandingan Pandelela dan Yiat Qing yang beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita untuk menyumbang pingat pada kejohanan itu.
“Sekarang ini kita masih letak harapan dekat seirama 10m Pandelela-Yiat Qing. Itu harapan utama kita.
“Yiat Qing juara 10m platform pada Sukan SEA lepas. Jadi, kita percaya pengalaman itu cukup untuk bantu dia beri saingan,” katanya.
Pada edisi yang berlangsung di Doha, Qatar sebelum ini, atlet Malaysia tidak meraih sebarang pingat dalam acara yang disertai mereka.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2022 yang berlangsung di Budapest, Hungary apabila meraih dua gangsa dalam acara 10m platform individu dan seirama wanita menerusi Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri.
-- BERNAMA