LABUAN, 15 Jun (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) giat melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sambil memperkukuh peranan dan keterlibatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama masyarakat setempat.
Ketua Bahagian PGRS Labuan Rosli Awang Damit berkata sebagai persediaan, pihaknya telah menubuhkan bilik gerakan bagi menyelaras bantuan kepada pengundi Labuan yang akan pulang mengundi selain merancang penugasan jentera parti ke kawasan strategik.
“Selain membantu pengundi tempatan, PGRS Labuan juga akan turut menyumbang secara aktif dalam kempen parti di Sabah dengan menggerakkan jentera ke kawasan tumpuan,” katanya kepada Bernama selepas Persidangan Tahunan ketiga parti berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata PGRS Labuan telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran serta pandangan skeptikal melalui usaha berterusan dan keikhlasan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Pada awalnya ia agak sukar, namun dengan ketekunan, semakin ramai menyokong dan menerima nilai teras kami iaitu integriti, dasar mesra rakyat dan pembangunan,” katanya.
Rosli berkata sehingga kini, terdapat 22 cawangan di bahagian berkenaan dengan lebih 3,000 ahli keseluruhannya.
“Enam bahagian telah menyerahkan borang keahlian semasa persidangan hari ini, bukti keyakinan rakyat semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan akar umbi yang telah mendorong pertumbuhan parti, sambil memuji peranan penting yang dimainkan oleh pemuda dan wanita.
-- BERNAMA