KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Naib Ketua Wanita PKR Datin Rufinah Pengeran dilantik sebagai Ketua Wanita PKR Sabah, manakala Ketua Wanita PKR Cabang Kalabakan Noraini Abd Ghapur sebagai Timbalan Ketua Wanita.
Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata perlantikan berkenaan diputuskan pada mesyuarat yang dipengerusikan beliau, semalam.
“Pelantikan ini penting bagi memastikan kelancaran gerak kerja Wanita PKR Sabah menghadapi pilihan raya (Pilihan Raya Negeri Sabah). Saya yakin dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan Wanita PKR Sabah.
“Kepimpinan dan pengalaman yang ada pada Rufinah dapat memastikan persediaan terbaik menghadapi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina berkata pihaknya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita PKR Sabah sejak Januari lepas yang kini beroperasi secara aktif untuk memperkukuh persiapan di semua peringkat.
“Ini bagi memastikan kesiapsiagaan jentera wanita untuk turun ke gelanggang pilihan raya dengan teratur dan strategik,” katanya yang turut menyeru seluruh kekuatan Wanita PKR negeri untuk teguh bersama dan bersama-sama berjuang memastikan kemenangan pada PRN Sabah.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar automatik pada 11 Nov ini. Pembubaran DUN Sabah ke-16 bakal membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
-- BERNAMA