KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengisian Islam TV3 diumum sebagai juara Pesta Pantun HAWANA-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025, selepas menewaskan pasukan Astro Radio News, pada pertandingan yang julung kali diadakan sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Hadiah juara dan naib juara itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Jabatan Pengisian Islam TV3 membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala serta sijil penyertaan, manakala Astro Radio News selaku naib johan menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan sijil.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula menduduki tempat ketiga, diikuti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di tempat keempat daripada keseluruhan lapan pasukan yang bertanding.
Sebanyak 32 peserta menyertai acara julung kali diadakan di Wisma Bernama yang menjadi pembuka tirai kepada sambutan HAWANA 2025, bermula pada 31 Mei lepas.
Ketua pasukan pemantun Jabatan Pengisian Islam TV3 Ahmad Fedtri Yahya berkata kejayaan pasukannya pada pertandingan itu amat bermakna selepas melalui debaran selama dua minggu menantikan keputusan.
“Memang saya tak lena tidur, lebih-lebih lagi malam tadi. Dah lama tak bertanding, jadi rasa gementar itu tetap ada. Sejujurnya saya rasa takut kerana ramai yang meletakkan harapan tinggi apabila dengar nama saya masuk bertanding.
“Alhamdulillah, kami akhirnya bergelar juara. Saya sangat bersyukur,” katanya yang juga merupakan personaliti televisyen dan penggiat pantun.
Beliau turut berharap pertandingan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya mohon agar tradisi ini dikekalkan. Kalau suatu hari nanti saya sudah tua, saya tetap akan datang, kalau bukan sebagai juri, saya hadir sebagai penonton. Jiwa saya memang pada pantun dan saya menyokong penuh agar pertandingan ini berterusan,” katanya.
HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama selaku agensi pelaksana, dan turut disokong oleh pelbagai syarikat media serta rakan strategik industri.
Kira-kira 1,000 jemputan terdiri daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa hadir Majlis Kemuncak HAWANA 2025 dengan tema sambutan tahun ini ialah "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika".
Selain pesta pantun, pelbagai acara disusun untuk sambutan HAWANA 2025, edisi kelima HAWANA yang diadakan sejak kali pertama pada 2018.
Karnival HAWANA 2025 berlangsung pada 13 hingga 15 Jun 2025 di Sunway Putra Mall menampilkan 20 reruai pameran melibatkan agensi media utama, jabatan kerajaan dan sektor swasta termasuk Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Media Prima Berhad, Jabatan Penerangan (JaPen) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Antara pengisian Karnival HAWANA ini adalah mini konti BERNAMA, pocket talk, perkhidmatan Bernama, pemberian akhbar digital New Straits Time Press Berhad, kuiz dan cabaran baca berita anjuran Media Prima Berhad.
Turut diadakan Forum HAWANA 2025 anjuran bersama BERNAMA dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang berlangsung pagi tadi di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL dengan tajuk ‘Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?’ sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian teknologi bertajuk ‘AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?’.
Hampir 100 rakan strategik menaja serta memberikan sumbangan untuk menjayakan HAWANA 2025.
-- BERNAMA