IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) melakar pencapaian tertinggi setakat ini dalam QS World University Rankings 2026, apabila melonjak 18 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-251 daripada 8,467 institusi yang dinilai di seluruh negara bagi edisi tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini, universiti berkenaan memaklumkan UTP mencatat peningkatan dalam semua penunjuk penilaian, dengan kemajuan ketara dalam reputasi akademik, reputasi majikan, petikan setiap fakulti dan kemampanan.
"Peningkatan ini juga menekankan tumpuan mendalam universiti terhadap penyelidikan yang relevan dengan industri dan pembangunan bakat, yang menjadi tunjang kepada hala tuju jangka panjang.
"Kerjasama rapat UTP dengan Petronas dan rakan industri lain terus memupuk ekosistem dinamik yang merapatkan jurang antara kecemerlangan akademik dengan aplikasi dunia sebenar," menurut kenyataan itu.
Presiden UTP Ir Mohamed Firouz Asnan dalam kenyataan sama berkata pencapaian ini mengukuhkan reputasi UTP dalam kalangan institusi terbaik dunia dan lebih penting lagi, kedudukan UTP sebagai universiti swasta nombor satu di Malaysia.
Mohamed Firouz berkata peningkatan berterusan UTP mencerminkan visi strategik untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan teknologi dan penyelidikan, ke arah masa depan yang lebih baik untuk semua.
"Kejayaan ini juga bukti kepada usaha tanpa henti petugas, fakulti dan pelajar serta kekuatan kerjasama dengan industri dan institusi akademik di seluruh dunia. Ia menunjukkan komitmen mendalam kami terhadap pendidikan berkualiti, inovasi dan penglibatan global.
"Ketika kami merangka fasa seterusnya perjalanan UTP, pengiktirafan dunia ini mengukuhkan azam kami untuk menjadi bukan sahaja universiti terkemuka di Malaysia, tetapi juga institusi kejuruteraan yang bertaraf dunia, tumpuan utama dan termaju yang berteraskan impak masyarakat, kemampanan dan inovasi yang dipacu industri," katanya.
Mohamed Firouz berkata pengikitaran ini juga diterima pada saat penting ketika universiti itu sedang melaksanakan program transformasi yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam mendidik pelajar serta menyusun semula tumpuan penyelidikan untuk menangani cabaran besar yang dihadapi masyarakat.
"Penarafan ini menunjukkan sejauh mana kami menyampaikan nilai yang melangkaui kampus. Lebih daripada itu, ia mencerminkan identiti kami sebagai institusi yang membangunkan penyelesaian inovatif dalam ekosistem yang lebih luas, memacu transformasi dalam industri dan masyarakat serta membentuk masa hadapan lebih baik," katanya.
-- BERNAMA