AM

PRASARANA TARIK MINAT GENERASI MUDA MENERUSI PERMAINAN DIGITAL RAPID CITY

13/06/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperluas kempen kesedaran mengenai kepentingan penggunaan pengangkutan awam dengan menarik minat generasi muda menerusi aplikasi permainan digital 'Rapid City'.

Menurut kenyataan Prasarana hari ini, permainan yang boleh diakses secara global melalui platform Roblox itu mengetengahkan pendekatan segar berkonsepkan pengangkutan awam futuristik, yang mencerminkan semangat kesalinghubungan bandar, kelestarian dan kerjasama komuniti.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Prasarana untuk meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan mesej dan pendidikan tentang mobiliti kepada generasi muda.

“Generasi muda hari ini membesar dalam dunia digital, dan Prasarana melihat platform seperti Roblox sebagai peluang untuk mendekati golongan ini melalui pendekatan yang lebih kreatif dan interaktif.

“Inisiatif seperti ‘Rapid City’ bukan sahaja bertujuan menghibur, tetapi juga memperkenalkan konsep pengangkutan awam serta kepentingannya dalam kehidupan bandar moden secara lebih santai dan mudah difahami,” menurut kenyataan itu.

Permainan 'Rapid City' boleh diakses secara percuma di platform Roblox bermula 29 Mei lalu hingga 31 Dis 2025, dengan sasaran minimum 100,000 pengguna.

Prasarana memaklumkan bahawa dalam dunia permainan itu, pemain boleh menjelajah bandar masa hadapan menaiki kenderaan ikonik Rapid KL seperti MechaMonorel dan MechaLRT, selain menyertai pelbagai misi menarik bagi menumpaskan robot jahat.

“Pengalaman ini menggabungkan elemen pengangkutan awam, imaginasi digital dan pembelajaran berasaskan permainan (gamifikasi) dalam bentuk hiburan interaktif,” menurut kenyataan itu.

Pengenalan ‘Rapid City’ turut merupakan kesinambungan beberapa inisiatif kolaborasi antara Rapid KL dan Monsta Studios bagi menarik minat golongan muda untuk menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan harian.

Antara inisiatif tersebut termasuk kempen ‘Ride & Catch’ bersama watak animasi popular Mechamato, serta promosi pembelian Pas MyTourist, yang membolehkan pengguna menebus barangan edisi khas seperti Tumbler Eksklusif MechaBot.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan