AM

HAWANA 2025: BUKA PELUANG ORANG RAMAI TEROKA DUNIA KEWARTAWANAN

13/06/2025 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pelajar komunikasi atau mereka yang berminat menceburi bidang kewartawanan digalakkan hadir ke Karnival HAWANA 2025 yang berlangsung tiga hari di Sunway Putra Mall, bermula esok hingga Ahad ini.

Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata penganjuran karnival sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 itu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpulkan kesemua agensi media arus perdana tempatan di bawah satu program. 

“Buat kali pertamanya kita mengadakan karnival melibatkan semua agensi media bagi menunjukkan perkembangan media tempatan.

“Kalau hendak pergi ke satu-satu agensi media mungkin agak sukar jadi kita kumpulkan di sini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan sambutan HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan Sunway Putra Mall di sini hari ini. 

Arul Rajoo yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025 berkata karnival itu antara lain memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman sebagai penyampai berita sekali gus menambah pengetahuan mereka yang berminat dengan industri media.

"Orang ramai boleh mengambil kesempatan untuk hadir kerana agensi media ini akan adakan pelbagai pengisian tersendiri selain berpeluang bertemu dengan penyampai berita. Mereka juga boleh merasai pengalaman membaca berita atau menjadi hos sesebuah rancangan," katanya.

Antara agensi media yang mengambil bahagian ialah Astro, TV AlHijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta portal digital seperti RotiKaya dan Vanakkam Malaysia selain penyertaan daripada media Sabah dan Sarawak. 

Karnival HAWANA 2025 yang berlangsung hingga Ahad diisi dengan pelbagai program antaranya mini konti Bernama, pocket talk, perkhidmatan Bernama, pemberian akhbar digital New Straits Time Press Berhad, kuiz dan cabaran baca berita anjuran Media Prima Berhad.

Turut diadakan cabutan bertuah dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta tayangan video Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Bertemakan 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika', sambutan HAWANA 2025 turut diisi dengan penganjuran forum Media HAWANA yang berlangsung pada Sabtu bertujuan memberikan input terhadap perkembangan terkini industri media tempatan. 

Kemuncak sambutan pada Sabtu di WTCKL bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional serta pakar industri sambil bertukar-tukar idea selain menjalinkan hubungan strategik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan