LUMUT, 12 Jun (Bernama) -- Lebih 200 perkhidmatan disediakan kementerian dan agensi kerajaan menerusi 36 reruai menanti pengunjung pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang akan membuka tirai esok.
Bertempat di Lumut Waterfront, PMR 2025 Perak merupakan lokasi kedua program berkenaan dilaksanakan secara berskala besar selepas di Tawau, Sabah.
Acara itu akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala pada Ahad, akan berakhir pada 6 petang. Reruai perkhidmatan kerajaan pula hanya beroperasi sehingga 6 petang setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan hari penutupan PMR 2025 Perak pada Ahad.
Bertemakan “Pendidikan Tinggi, Pemacu Negara MADANI”, program anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku kementerian peneraju dan kerajaan Perak sebagai tuan rumah itu akan menumpukan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar.
Penganjuran edisi kali ini memberi penekanan kepada penyediaan maklumat, bantuan dan peluang berkaitan pendidikan tinggi kepada golongan muda yang sedang merancang masa depan pendidikan mereka antaranya Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), konsultasi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi serta konsultasi penawaran dan bayaran balik penajaan.
KPT turut menampilkan pelbagai agensi di bawahnya bagi memberikan maklumat berkaitan biasiswa dan bantuan kewangan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kecerdasan buatan (AI).
PMR 2025 Perak yang menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung juga akan dimeriahkan dengan aktiviti lain antaranya Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan dan penglibatan 66 usahawan tempatan berserta pelbagai produk selain pameran aset keselamatan.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pertunjukan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertandingan jet ski, selenggara motosikal percuma oleh pelajar TVET serta program pertukaran al-Quran dan topi keledar baharu.
Sesi temu duga terbuka melibatkan 10 syarikat daripada pelbagai sektor dengan lebih 1,000 jawatan kosong juga ditawarkan untuk pengunjung yang sedang mencari pekerjaan.
Di samping itu, empat program satelit dianjurkan sekitar daerah Manjung termasuk Belia Silat MADANI yang diadakan pada 1 Jun lepas, Kenduri Rakyat MADANI bersama TLDM (15 Jun), program keagamaan (20 dan 21 Jun) dan aktiviti komuniti nelayan (21 Jun).
-- BERNAMA