KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Zurich Takaful Malaysia Berhad hari ini melancarkan Takaful ProAspire, pelan takaful keluarga yang menawarkan gabungan perlindungan dan simpanan bagi membolehkan peserta menerima pulangan tunai setiap tahun atau setiap tiga tahun sekali.
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad Nur Fatihah Mustafa berkata pelan itu boleh disesuaikan sepenuhnya mengikut keperluan setiap individu sama ada untuk merancang pendidikan anak, persaraan atau menunaikan ibadah seperti umrah dan haji.
“Takaful terbaharu ini juga membolehkan peserta memilih untuk mendepositkan pulangan tunai ke dalam akaun bank atau melabur semula ke dalam akaun simpanan Takaful ProAspire,” katanya di majlis pelancaran pelan takaful itu di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Agensi Zurich Takaful Malaysia Berhad Mohd Amri Yusop dan Pengarah Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ahmad Shahril Ghazali.
Nur Fatihah berkata antara faedah lain termasuk perlindungan untuk kematian, hilang upaya keseluruhan dan kekal, serta perlindungan semasa menunaikan ibadah haji dan umrah untuk memastikan para peserta dan keluarga tidak risau sewaktu di Mekah.
“Dengan ganjaran kesetiaan, peserta juga akan menerima pulangan sejumlah bayaran apabila sijil mencapai tempoh matang. Jadi, peserta boleh memilih tempoh perlindungan fleksibel selama 15, 21 atau 30 tahun, dengan pilihan untuk mencarum sama ada selama lima tahun atau sepanjang tempoh perlindungan yang dipilih.
“Pelan takaful yang bermula dengan caruman serendah RM150 sebulan ini juga menawarkan tempoh perlindungan yang fleksibel dengan pilihan caruman yang boleh disesuaikan mengikut kemampuan peserta,” tambahnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau melahirkan rasa bimbang berikutan kadar penembusan pasaran takaful di Malaysia yang masih rendah. Hanya 20 peratus rakyat mempunyai perlindungan takaful manakala, 80 peratus lagi tidak memiliki apa-apa perlindungan.
Justeru itu katanya, syarikat insurans dan takaful seperti Zurich perlu terus berperanan memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mengambil perlindungan seperti Takaful ProAspire.
Nur Fatihah berkata untuk tahun pertama, Zurich menyasarkan RM6 juta caruman di bawah Takaful ProAspire dan sasaran itu akan dinaikkan bergantung kepada sambutan yang diterima daripada peserta.
Beliau berkata mulai hari ini hingga 29 Julai, bagi pelanggan yang mendaftar pelan Takaful ProAspire ini akan mendapat jongkong emas 999.9 apabila permohonan diluluskan.
-- BERNAMA