AM

PENYEDIA BIASISWA BERHAK PUTUSKAN PENEMPATAN PELAJAR KE NEGARA LAIN SELAIN AS - ZAMBRY

10/06/2025 10:49 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Penyedia biasiswa tempatan disaran supaya membuat keputusan segera berkaitan penempatan pelajar tajaan mereka selain Amerika Syarikat (AS) susulan kesan dasar tarif baharu yang diperkenal oleh negara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia memiliki ramai pelajar berprestasi tinggi yang layak menyambung pengajian di universiti terbaik dunia, bukan hanya di AS.

“Kita tidak boleh lagi terperangkap dengan dasar-dasar yang terlalu regresif sifatnya sehingga menjejaskan peluang pelajar dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk belajar.

“Bagi saya, tempat terbaik juga ada di negara lain,” katanya ketika ditemui pada sesi Luncheon Talk With Editors sempena Program Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan dasar tarif baharu AS terhadap pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di negara itu.

Pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan pemprosesan visa semua pelajar asing dan mempertimbang langkah menyaring pemohon baharu berdasarkan hantaran media sosial mereka.

Sebelum ini, Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata agensi itu akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke AS mulai tahun ini susulan pengenalan dasar baharu tersebut oleh Trump.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan