GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Semua isu yang berbangkit antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kerajaan Persekutuan berkaitan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara telah pun selesai, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata dalam mesyuarat bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow di kementeriannya di Putrajaya pada bulan lepas, antara perkara berbangkit yang diselesaikan, termasuk isu surat kebenaran daripada kerajaan negeri.
"Kerja-kerja fizikal akan bermula tidak lama lagi, dalam satu dua bulan akan datang.
“Jadi, kita minta mereka (kerajaan negeri) pastikan ada pelan lencongan lalu lintas apabila kerja-kerja pembinaan bermula," katanya pada sidang media Tinjauan Operasi Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand di Ibu Pejabat Rapid Penang di sini.
Loke dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang.
LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan pelan jajaran utamanya merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di George Town, dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan berkenaan.
Mengenai perkhidmatan Rapid Penang On-Demand oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Loke berkata ia berjalan lancar dan diperkenalkan untuk memenuhi keperluan perjalanan batuan pertama dan terakhir bagi penumpang.
Sejak diperkenalkan secara berfasa dari Ogos 2024 hingga bulan lepas, perkhidmatan itu beroperasi dengan 50 van, meliputi 13 zon kawasan di Pulau Pinang, iaitu tujuh di bahagian pulau dan enam di Seberang Perai.
"Jumlah purata penumpang harian ialah 1,944 orang. Purata setiap van ialah 39 penumpang setiap hari dan purata masa perjalanan 16 minit manakala masa menunggu 19 minit," katanya.
Beliau memaklumkan terdapat 150 pemandu tambahan untuk mengendalikan van berkenaan bagi memastikan operasi Rapid Penang On-Demand berjalan lancar dan penumpang menikmati tambang hanya RM1 untuk setiap perjalanan.
-- BERNAMA