AM

SEMAKAN PINDAAN AKTA 134, ISU TANAH ANTARA TUMPUAN MAPOA 2025

18/06/2025 04:16 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Status kajian semakan pindaan Akta 134 merupakan antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) 2025 yang berlangsung semalam, menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat turut membincangkan beberapa isu lain termasuk hal berkaitan tanah penempatan orang Asli, tahap pencapaian pendidikan, serta pengiktirafan amalan perubatan tradisional masyarakat tersebut.

MAPOA 2025 yang berlangsung di Bangi semalam dipengerusikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Majlis berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil kerajaan Persekutuan dan negeri, wakil-wakil suku kaum orang Asli, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, profesional, wanita, belia dan pemimpin masyarakat orang Asli.

MAPOA merupakan platform bagi wakil masyarakat orang Asli dan pihak berkepentingan di peringkat kerajaan Persekutuan serta negeri untuk mengemukakan pandangan berhubung pembangunan masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Ia juga berperanan sebagai wadah untuk wakil-wakil orang Asli bersama agensi pusat dan kerajaan negeri menyalurkan pandangan serta maklum balas berkaitan dasar dan strategi pembangunan komuniti tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan