KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Malaysia semakin diiktiraf sebagai benefisiari utama dalam transformasi hartanah global selepas banyak syarikat multinasional berusaha menyelaraskan portfolio hartanah mereka dengan daya tahan operasi, kemampanan dan ruang kerja yang disediakan untuk masa hadapan.
.Menurut laporan global Knight Frank (Y) OUR SPACE 2025, memandangkan korporat di seluruh dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, risiko geopolitik serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan transformasi digital, 50 peratus penghuni global mengharapkan jejak hartanah mereka berkembang dalam tiga hingga lima tahun akan datang, yang mewakili 104 juta kaki persegi ruang baharu. Ini meletakkan posisi Malaysia dengan teguh dalam tinjauan pelabur serta penghuni global.
"Knight Frank Malaysia telah menyaksikan minat yang semakin bertambah dari firma multinasional yang ingin menubuhkan ibu pejabat serantau, hab perindustrian tinggi serta penyelesaian logistik lestari di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
"Permintaannya amat kukuh di kalangan firma yang mahu menfokus kepada pembuatan termaju, teknologi dan pengedaran serantau," kata firma perundingan hartanah itu melalui satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata Malaysia menawarkan gabungan kecekapan kos, kestabilan politik termasuk akses pasaran yang dicari oleh penghuni global hari ini.
"Apa yang benar-benar membezakan kami sekarang adalah peningkatan dalam kualiti ruang perindustrian dan pejabat kami yang telah dibangunkan dengan ketahanan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kesesuaian jangka panjang," katanya.
Laporan itu mendedahkan bahawa peneraju dalam hartanah korporat (CRE) mengutamakan kecekapan dan daya tahan operasi yang dipertingkatkan, yang dicerminkan melalui 38 peratus responden, melangkaui senarai inovasi dan pematuhan ESG.
Ini mencerminkan permintaan yang menjurus kepada fungsi, yang mana penghuni lebih suka pajakan yang lebih pendek, susun atur hibrid dan lokasi yang dibina untuk akses bakat selain mampu mengurangi risiko.
Sementara itu, 63 peratus responden mengutamakan kemudahan yang sesuai dengan ciri-ciri yang berfokus pada prestij, menggariskan peralihan ke arah reka bentuk praktikal serta prestasi. Ini sejajar dengan inventori perkembangan komersil yang lebih baru di Malaysia, yang semakin dibina pada standard mesra alam dan kesejahteraan.
"Dengan jangkaan yang semakin meningkat pada pasukan CRE untuk membolehkan transformasi sambil mengemudi dalam keadaan yang terhad, peluang Malaysia terletak pada penyampaian ruang kerja yang diterajui pengalamannya, kos yang cekap dan strategik yang memenuhi tanda aras prestasi global serta tempatan," katanya lagi.
-- BERNAMA