KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 kepada RM66.04 juta berbanding RM60.05 juta bagi suku pertama 2024, disokong oleh prestasi kukuh dalam segmen pembangunan hartanah.
Hasil naik kepada RM649.69 juta daripada RM558.21 juta sebelum itu, kata pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kedudukan kewangan syarikat kekal sihat, dengan tunai dan baki bank serta pelaburan dalam dana jangka pendek berjumlah kira-kira RM790.6 juta setakat 31 Mac, 2025.
Pada suku pertama 2025, segmen pembangunan hartanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM103.4 juta dan hasil berjumlah RM521 juta, masing-masing meningkat 16.3 peratus dan 16.2 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelum itu.
“Peningkatan hasil dan keuntungan operasi ini sebahagian besarnya disumbang oleh pengiktirafan hasil progresif daripada kemajuan kerja pembinaan yang sedang berjalan,” kata Mah Sing.
Antara projek utama yang menyumbang kepada prestasi ini termasuk M Vertica di Cheras, M Arisa di Sentul, Meridin East, M Tiara dan M Minori di Johor Bahru, M Astra di Setapak, M Senyum di Salak Tinggi, M Panora di Rawang dan M Nova di Kepong.
"Projek lain yang turut menyumbang ialah Southville City di Bangi, Ferringhi Residence di Pulau Pinang, M Zenya di Kepong, M Terra di Puchong dan M Azura di Setapak," katanya.
Sepanjang lima bulan pertama 2025, kumpulan berjaya mencatat jualan hartanah berjumlah RM1.01 bilion.
Sementara itu, segmen pembuatan kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM113 juta dengan kerugian operasi RM1.3 juta bagi suku pertama 2025, berbanding hasil RM98.5 juta dan keuntungan operasi RM0.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas (termasuk pendapatan sekali sahaja daripada pampasan insurans sebanyak RM2.7 juta).
“Peningkatan hasil ini dipacu oleh jualan palet yang lebih tinggi. Jika dikecualikan pendapatan sekali sahaja pada suku pertama 2024, prestasi segmen pembuatan menunjukkan prestasi yang agak baik dengan kerugian operasi yang lebih rendah berbanding suku yang sama tahun sebelumnya,” kata Mah Sing.
Mengenai prospek, Mah Sing berkata kumpulan kekal yakin mencapai sasaran jualan tahun penuh minimum sebanyak RM2.65 bilion, disokong oleh kejayaan hartanah baharu termasuk M Legasi di Semenyih, M Tiara di Johor Bahru, Suria Madani di Taman Desa dan Meridin East di Johor Bahru.
“Momentum jualan dijangka berterusan sepanjang 2025 dengan pelancaran fasa baharu M Legasi di Semenyih, M Zenya di Kepong, Meridin East dan M Tiara di Johor Bahru, serta pelancaran baharu seperti M Aurora di Jalan Klang Lama, M Aria di Sentul, Icon City 2 di Petaling Jaya, Southbay City di Pulau Pinang dan projek seperti M Tiara 2, Tiara Hills serta M Grand Minori di Johor Bahru,” katanya.
Dengan jualan belum dibil RM2.73 bilion dan tumpuan strategik terhadap pelaksanaan projek bergerak pantas, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada 2025 dan kekal komited terhadap peluang pertumbuhan mampan bagi menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan.
-- BERNAMA