KOTA BHARU, 7 Jun (Bernama) -- Kali pertama menyaksikan sendiri proses penyembelihan lembu korban di pekarangan Masjid Muhammadi memberikan pengalaman baharu kepada tiga wanita warga Perancis.
Siham Zouaoui, 28, bersama ibunya, Amina Irbaiyne, 65 dan kenalannya, Nessrine Mameche, 26, sedang dalam percutian di sini dan tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan Aidilladha.
"Saya teruja kerana berpeluan merasai kelainan pada sambutan Aidiladha di Kota Bharu dengan melihat sendiri penyempurnaan ibadah korban.
"Ia sangat meriah, termasuk dalam konteks kerjasama semasa melaksanakan ibadah korban," kata Nessrine ketika ditemui pada Program Korban di sini hari ini.
Sementara itu, Siham berkata sebagai muslimah mereka bersyukur kerana berpeluang berada di Kota Bharu pada Aidiladha.
"Program korban ini sangat memberi kesan kepada diri saya … ," katanya.
Imam Tua II Masjid Muhammadi Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi berkata pada hari ini, sebanyak 36 ekor lembu dikorbankan menerusi kerjasama dengan beberapa pihak, termasuk Bank Rakyat.
"Pelaksanaan ibadah korban hari ini melibatkan sembelihan 27 ekor lembu, manakala sembilan ekor lagi akan disembelih pada hari raya ketiga.
"Daging korban ini akan diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan melibatkan 2,000 penerima di sekitar Kota Bharu," katanya.
-- BERNAMA