KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2025/2026 ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik kini dibuka bermula hari ini sehingga 4 Julai depan.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my dan pembelian nombor pin tidak diperlukan.
“Pelawaan tawaran ini dibuka kepada Lepasan Diploma/Diploma Lanjutan Politeknik. Pelajar semester akhir Diploma Politeknik (Sesi II: 2024/2025 tamat latihan industri) juga layak memohon.
“Permohonan bagi lepasan Diploma Kejuruteraan / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi daripada IPTA / IPTS, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pemilik Sijil Apel.A T-6 boleh dibuat mulai 11 Jun 2025 pukul 5 petang sehingga 4 Julai 2025 pukul 12 tengah hari,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan mulai sesi akademik 2025/2026, dua program baharu diperkenalkan, sekali gus menjadikan 12 program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan bagi sesi akademik berkenaan.
Menurut JPPKK program ijazah sarjana muda ini ditawarkan di empat politeknik iaitu Politeknik Ungku Omar, Perak, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.
Maklumat berkenaan program, kaedah permohonan dan syarat kelayakan boleh dirujuk dengan melayari pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.
-- BERNAMA