KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bukan tentang mendapatkan kekebalan peribadi atau melepaskan diri daripada siasatan undang-undang.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata permohonannya adalah berkaitan integriti sistem perlembagaan dan keperluan untuk memastikan bahawa pegawai tinggi kerajaan dilindungi daripada litigasi yang mungkin diatur masanya secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.
"Saya tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah dan maruah tadbir urus demokrasi.
“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Dalam sidang media selepas prosiding, peguam bela Anwar Datuk Seri K.Raja Segaran berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
-- BERNAMA