PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2025/2026 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 16 Jun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan boleh disemak mulai 12 tengah hari hingga 5 petang pada 25 Jun.
Semakan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my; dan https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.
Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 17 Jun hingga 25 Jun ini di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan MARA BPT.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan MARA BPT kepada yang berjaya mulai 17 Jun 2025 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” menurut KPT.
KPT turut memaklumkan hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 16 Jun sehingga 5 petang pada 25 Jun 2025.
Permohonan rayuan ke Kolej Komuniti dan MARA BPT boleh dikemukakan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline®.
Menurut KPT, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2025/2026 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian IPTA/MARA BPT tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Putrajaya.
-- BERNAMA