Oleh Mohd Khairi Idham Amran
JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) -- Johor Corporation (JCorp) melihat kekuatan sektor penjagaan kesihatan Johor sebagai teras kepada pembangunan hab inovasi serantau pada masa hadapan bagi memenuhi peningkatan permintaan di ASEAN terhadap kecemerlangan klinikal dan bakat perubatan mahir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata Johor mempunyai aset dan kekuatan institusi yang mantap untuk memperteguh kedudukan dalam sektor penjagaan kesihatan, dan peranan JCorp adalah mendorong kekuatan ini bagi meningkatkan kualiti dan jangkauan.
Menurutnya KPJ Healthcare Bhd, cabang penjagaan kesihatan di bawah JCorp sedang membangunkan Sistem Kesihatan Akademik pertama di Malaysia yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan.
“Sistem ini berasaskan tiga tonggak utama iaitu melalui hospital KPJ, KPJ Healthcare University (KPJU) dan Pusat Penyelidikan dan Inovasi KPJ.
“Sistem ini dihasilkan untuk mencapai piawaian emas dalam penjagaan kesihatan dengan menggabungkan amalan terbaik bertaraf global dalam rawatan perubatan, latihan dan inovasi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Syed Mohamed berkata KPJU khususnya adalah platform utama untuk melahirkan profesional dalam bidang perubatan, kejururawatan dan kesihatan bersekutu yang berdaya saing di peringkat serantau dan selaras dengan piawaian global.
“Selain itu, kerjasama kami dengan Mayo Clinic Care Network dan pembangunan pusat kecemerlangan onkologi, kardiologi, ortopedik dan pembedahan robotik akan meningkatkan strategi JCorp dalam meletakkan, bukan sahaja Johor malah Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Syed Mohamed berkata JCorp boleh bekerjasama dengan dana pelaburan seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah Nasional Bhd atau Temasek Holdings Ltd Singapura untuk membiayai bersama projek infrastruktur strategik.
“Kami sedang giat membangunkan laluan pelaburan yang sejajar dengan keutamaan modal institusi jangka panjang.
"Infrastruktur strategik akan berjaya apabila ia dibina melalui tadbir urus bersama, risiko jangka panjang yang jelas dan hasil yang dapat dinilai," katanya.
Beliau berkata JCorp sedang merangka platform pelaburan bersama yang membolehkan modal diperluas kepada zon pemangkin seperti Ibrahim Technopolis dan koridor logistik yang dihubungkan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Platform ini distrukturkan untuk memberikan pulangan yang jelas, prestasi yang sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta limpahan ekonomi untuk Johor.
“Libat urus kami dengan rakan kongsi institusi pula adalah berpandukan penjajaran hasil. Kami mengutamakan rakan kongsi yang mempunyai pengawasan modal, pandangan yang jelas mengikut sektor, dan kemampuan untuk mereka bentuk bersama infrastruktur yang memenuhi permintaan serantau dalam sektor tenaga, digital dan logistik,” katanya.
-- BERNAMA