KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Oasis Harvest Corporation Bhd, penggiat makanan dan minuman (F&B) yang disenaraikan di Bursa Malaysia bercadang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Metta Food & Lifestyle Sdn Bhd (Metta) dengan harga RM30.8 juta.
Metta adalah operator restoran dan kafe berkonsepkan bankuet atau jamuan besar melalui jenama De.Wan 1958 by Chef Wan dan Cafe Chef Wan.
Pengarah Eksekutif Oasis Harvest dalam kenyataan hari ini berkata pengambilalihan berkenaan turut merangkumi jaminan keuntungan daripada vendor, memastikan Metta mencapai keuntungan teraudit terkumpul selepas cukai sekurang-kurangnya RM5.6 juta dalam tempoh dua tahun berakhir 30 Jun 2026.
Menurutnya langkah itu memperlihatkan keyakinan yang kukuh terhadap pertumbuhan dan keuntungan jangka panjang kumpulan yang diperbesarkan.
“Pengambilalihan berkenaan sejajar dengan visi strategik kami untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan penawaran dalam sektor F&B, pelancongan, rekreasi dan hospitaliti. Jenama terkemuka Chef Wan akan melengkapi dan meluaskan portfolio sedia ada kami dengan ketara,” katanya.
Menurut Ch’ng pengambilalihan strategik ini akan membolehkan Oasis Harvest memperluas tawaran kulinarinya dengan memanfaatkan pengiktirafan pasaran Metta, kepakaran operasi serta reputasi unggul chef selebriti antarabangsa Datuk Redzuawan Ismail yang lebih dikenali sebagai Chef Wan.
Selepas pengambilalihan itu, Oasis Harvest bercadang untuk menyelaraskan operasi Metta dengan jenama sedia ada seperti Uncle Don’s dan Verona Trattoria.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Oasis Harvest berkata pengambilalihan berkenaan akan dibiayai sebahagiannya melalui penguntukan semula hasil sedia ada daripada cadangan penjualan hartanah (RM6 juta) dan pinjaman bank (RM24.8 juta).
Pengambilalihan yang dicadangkan itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan berikutan Datuk Seri Tan Ooi Han selaku pengarah eksekutif dan pemegang saham utama Oasis Harvest merupakan vendor, pengarah dan pemegang saham Metta.
SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas untuk memberikan syor kepada pengarah tidak berkepentingan dan pemegang saham tidak berkepentingan dalam syarikat mengenai cadangan pengambilalihan itu.
-- BERNAMA