AM

ANTIROKOK: TIGA DEKAD BERJUANG, SUBBAROW TERIMA ANUGERAH IKON KAWALAN TEMBAKAU

31/05/2025 07:45 PM

GEORGE TOWN, 31 Mei (Bernama) -- Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N. V. Subbarow hari ini menerima Anugerah Ikon Kawalan Tembakau atas dedikasinya selama hampir tiga dekad memperjuangkan kempen kesedaran bahaya merokok.

Anugerah itu disampaikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersempena Persidangan Kebangsaan Kawalan Tembakau (NTCC) 2025 dan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Cyberjaya, Selangor.

Subbarow ketika dihubungi Bernama berkata pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan selain menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha memberi kesedaran mengenai kesihatan awam kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Saya telah berkempen kepada lebih 25,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara untuk menyampaikan mesej mengenai bahaya merokok, vape atau rokok elektronik, shisha dan ganja.

“Pelbagai pendekatan digunakan termasuklah sesi ceramah, perkongsian maklumat interaktif serta perbincangan terus dengan pelajar mengenai kandungan berbahaya dalam produk tembakau dan kesannya terhadap kesihatan,” katanya.

Subbarow berkata beliau amat gembira apabila kempen yang dijalankan itu mula membuahkan hasil apabila ada dalam kalangan pelajar yang datang semula berjumpa dengannya untuk memaklumkan mereka telah berhenti merokok dan itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Saya amat bersyukur kerana usaha ini diiktiraf. Ia menjadi pemangkin untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat dan mendidik generasi muda tentang gaya hidup sihat bebas tembakau,” katanya.

Sementara itu, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia menggesa kerajaan supaya mengharamkan sepenuhnya semua produk tembakau dan vape.

Beliau berkata kewujudan produk berkenaan menjadi beban kepada kesihatan awam dan menimbulkan risiko serius selain berupaya meningkatkan lagi ketagihan terhadap dadah. 

“Lebih membimbangkan, (jika tidak diharamkan) ia kekal mudah diakses terutama pembelian secara dalam talian. Hanya perlu klik untuk membuat pengakuan palsu bahawa pembeli berumur lebih 18 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan pengguna daripada menjadi penagih nikotin dalam jangka panjang atau lebih membimbangkan, beralih kepada penyalahgunaan dadah lain.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan