AM

SIRIM RAIH 10 PINGAT, DUA ANUGERAH UTAMA DI ITEX 2025

31/05/2025 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) melakar kejayaan cemerlang apabila 10 projek penyertaan memenangi enam pingat emas dan empat perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

SIRIM dalam kenyataan memaklumkan dua inovasi terbaik SIRIM turut menerima anugerah Best Invention dan Best Green Invention dalam kategori Institusi Penyelidikan.

Antara projek yang memenangi pingat emas ialah Automated Drone Station (ADS) For Smart Aerial Monitoring and Surveillance yang turut menerima anugerah Best Invention.

Ia platform pintar yang direka untuk mengurus, mengecas dan melancarkan dron tanpa pengawasan manusia.

Projek Bioactive Antimicrobial Material Enriched with Citrus Extract for Sustainable Applications (BioCitrusProtect) yang juga memenangi Best Green Invention pula menggabungkan kitosan, bakteria selulosa, dan naringin daripada sitrus untuk memberikan penyelesaian semula jadi dan berkesan dalam menghalang mikroorganisma berbahaya serta berpotensi digunakan dalam pembungkusan dan salutan makanan.

Projek lain yang memenangi pingat emas ialah QUANTUMLFA: Revolutionising Hepatitis B Detection, iaitu kit ujian pantas untuk mengesan antigen permukaan Hepatitis B serta Sustainable Innovation: Biodegradable Microbeads from Pineapple Fibre (penyelesaian lestari dan saintifik untuk menggantikan mikrobid plastik dalam produk penjagaan kulit dan penjagaan diri).

Selain itu, projek Digitalisation of Clear Aligners Production Through Direct 3D Printing pula memperkenalkan aliran kerja digital sepenuhnya untuk penghasilan pendakap gigi lutsinar menggunakan pencetakan 3D langsung dan projek REP4WRD®: Agile Best Practices for Industry (sebuah kerangka yang direka untuk membantu organisasi dalam melaksanakan metodologi Agile dengan berkesan).

Sementara itu, empat projek lain memenangi pingat perak, iaitu Green Plastics Sustainable Solutions Through G0-Terra Innovations, Smart Mosquito Repellent Dispenser (X-IOT), Low Pressure Storage System Using Amine-Functionalized Multiwall Carbon Nanotube (MWCNT) as Adsorbent Materials for Natural Gas Storage dan AI-Based Automated Data Extraction API for Dynamic Paper-Based Documents (aIDEA).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad  berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen SIRIM dalam memacu penyelesaian lestari yang bukan sahaja memajukan kemampuan teknologi negara, malah menyumbang kepada penyelesaian cabaran global.

Beliau berkata kejayaan itu sekali lagi membuktikan peranan SIRIM sebagai peneraju inovasi tempatan dan pemangkin kepada aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi dan penyelidikan bertaraf dunia.

Edisi ke-36 ITEX kali ini mempamerkan 900 ciptaan teknologi dan produk dari lebih 15 negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan