SUKAN

PUTERA ADAM CIPTA SEJARAH NAIK PODIUM KEJUARAAN LAMBORGHINI SUPER TROFEO EROPAH

02/06/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pelumba negara Putera Adam Halim Muazzam mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama Malaysia menaiki podium dalam kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah 2025 di Litar Autodrom Kebangsaan Monza, Itali semalam.

Menurut Putera Adam menerusi kenyataan kepada media, kejayaan itu hadir selepas beliau bersama gandingannya Paul Levet dari Perancis, mewakil pasukan VSR dalam kategori PRO, berhasil memenangi perlumbaan kedua.

Mereka pada awalnya diuji dengan masalah jentera Huracan EVO2 pada perlumbaan pertama sehingga terpaksa akur dengan kedudukan keenam meskipun bermula dari petak pertama. 

Bagaimanapun, gandingan itu menampilkan kebangkitan luar biasa pada perlumbaan kedua apabila berjaya memintas pelumba lain untuk mengambil alih kedudukan ketiga meskipun bermula dari petak kelapan.

Percaturan strategi pasukan VSR dengan melakukan pertukaran pemandu pada saat yang tepat memberi kelebihan apabila pemanduan bertenaga Levet meletakkan pasukan yang berpangkalan di Itali itu di hadapan.

Levet memintas pendahulu ketika itu, Bergman dari pasukan Leipert Motorsport, sebelum mengekalkan pemanduan konsisten dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 48 minit 45.387 saat (s).

"Alhamdulillah, minggu yang cukup mencabar buat kami apabila tidak dapat melakukan latihan bebas sebelumnya dan jentera mengalami kegagalan pada alternator di perlumbaan pertama.

"Namun saya dan Levet berjaya mengatasi kekecewaan hari sebelumnya untuk menjulang trofi pertama kami dalam kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah 2025 ini," menurut pelumba berusia 19 tahun itu. 

Putera Adam dan Levet kini berada dalam kedudukan kelima keseluruhan dengan 26 mata dalam kejuaraan itu.

Mereka akan meneruskan saingan pusingan tiga di Litar Spa-Francorchamps, Belgium pada 26 hingga 28 Jun ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan