AM

LYNAS, KELANTAN METERAI MOU UNTUK BEKAL KARBONAT NADIR BUMI BERCAMPUR

30/05/2025 06:10 PM

KUANTAN, 30 Mei (Bernama) – Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) dan cabang pelaburan kerajaan negeri Kelantan, Menteri Besar Incorporated (MB Inc) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membekalkan karbonat nadir bumi bercampur (MREC).

Dalam satu kenyataan hari ini, Lynas berkata MoU itu tidak mengikat dan masih tertakluk kepada rundingan dan pemuktamadan perjanjian yang dimuktamadkan.

Katanya, memorandum itu menggariskan rangka kerja bagi kedua-dua pihak untuk mengukuhkan, mempromosikan dan mewujudkan kerjasama bagi membangunkan industri nadir bumi Malaysia di Kelantan. 

“Ia turut menyediakan asas bagi MB Inc dan Lynas untuk mengadakan rundingan bagi satu perjanjian yang muktamad untuk membekalkan bahan mentah MREC kepada Lynas Malaysia Advanced Materials Plant di Kuantan, apabila projek itu memulakan pengeluarannya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths Amanda Lacaze berkata Malaysia sudah diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan nadir bumi menerusi operasi Lynas, dan MoU itu menandakan langkah penting ke arah membangunkan produk nadir bumi yang diasingkan serta menggunakan sumber tempatan. 

“Lynas berbesar hati untuk menandatangani MoU dengan MB Inc, cabang pelaburan kerajaan negeri Kelantan.

“Ia merupakan langkah penting bagi Lynas dan industri nadir bumi Malaysia, menghimpunkan kepakaran industri nadir bumi Lynas Malaysia selama sedekad serta sumber nadir bumi negeri Kelantan,” katanya.

Lacaze berkata simpanan tanah liat ionik di Malaysia mempunyai potensi yang kukuh sebagai bahan mentah masa depan untuk Lynas Malaysia, terutamanya disebabkan oleh kandungan unsur nadir bumi yang berat, yang mendapat permintaan tinggi dalam teknologi terkini seperti kenderaan elektrik dan elektronik.

“Kami harap dapat bekerjasama rapat dengan MC Inc untuk memastikan MREC yang dikeluarkan memenuhi piawaian alam sekitar dan teknikal yang ditetapkan oleh Lynas serta pelanggan kami di seluruh rantaian bekalan pembuatan di Malaysia dan global,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan