AM

PERPADUAN BUKAN PILIHAN, TAPI KEPERLUAN NASIONAL - PM ANWAR

02/06/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa perpaduan nasional bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara.

Beliau berkata perpaduan itu asas kepada pembangunan sebuah negara selain menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia.

“Malaysia hanya akan terus teguh jika kita kukuh berpadu.

“Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Berangkat pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Hadir bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan menteri-menteri Kabinet.

Anwar berkata Kerajaan MADANI di bawah naungan dan titah pandu Seri Paduka Baginda, akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip-prinsip yang Madani.

“Pembangunan kebendaan semata tentunya tidak mencukupi. Malah, mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja, sebaliknya kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf  serta ditingkatkan.

“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat akan terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.

Anwar berkata setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan