AM

AHMAD ZAHID ZAHIR UCAPAN TAHNIAH SEMPENA ULANG TAHUN KEPUTERAAN RASMI AGONG

02/06/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata beliau dan keluarga menjunjung kasih serta mendoakan agar pemerintahan Seri Paduka Baginda sentiasa diberkati Allah SWT.

Beliau turut mendoakan Sultan Ibrahim dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna serta bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan dan kebijaksanaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran Facebook turut merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

“Semoga Duli Tuanku kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan jua serta memerintah (negara) dengan adil serta saksama.

“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sentiasa berada di bawah peliharaan rahmat dan perlindungan Allah SWT, hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, selamat sejahtera, dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Fadillah berkata beliau dan seluruh Malaysia mendoakan agar Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan