EKONOMI

UNTUNG BERSIH SUKU KETIGA PADINI NAIK KEPADA RM71.97 JUTA

29/05/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Padini Holdings Bhd meningkat kepada RM71.97 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2025 (S3 TK2025) daripada RM40.52 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong oleh peningkatan dalam margin keuntungan kasarnya.

Hasil turut meningkat kepada RM626.81 juta daripada RM575.37 juta sebelum ini, menurut makluman syarikat fesyen itu kepada bursa saham hari ini.

“Perniagaan runcit secara amnya kekal mencabar disebabkan oleh kemerosotan kuasa beli yang berkemungkinan berpunca daripada peningkatan kos, ketegangan perdagangan dan kenaikan inflasi serta kadar faedah.

“Walaupun berdepan cabaran-cabaran ini, kami tetap optimis bahawa kumpulan akan mencatatkan prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan semasa,” katanya.

Padini berkata pihak pengurusan akan terus menyediakan produk yang bernilai untuk wang dan melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal kos, mengoptimumkan modal kerja, memelihara tunai dan menyelaraskan operasi bagi meminimumkan sebarang kesan buruk.

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, Padini mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM147.81 juta berbanding RM120.29 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.55 bilion daripada RM1.46 bilion sebelumnya.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan hari ini mengisytiharkan dividen interim 1.8 sen sesaham dan dividen khas 1.0 sen sesaham untuk tahun kewangan 2025, yang akan dibayar pada Jun 2025.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan