KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Peranan wartawan berlandaskan prinsip ketelusan, tanggungjawab dan integriti amat dihargai dan penting dalam landskap media yang kian mencabar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sempena Hari Wartawan Nasional 2025 (HAWANA) hari ini, Fadillah menerusi hantaran X berkata tanpa usaha wartawan, demokrasi di negara ini tidak dapat berfungsi dengan matang serta suara rakyat mungkin tenggelam dalam gelombang maklumat yang mengelirukan.
Beliau berkata wartawan bukan sekadar penyampai berita sebaliknya mata yang melihat realiti, telinga mendengar denyut nadi rakyat serta pena mencorakkan pemahaman masyarakat terhadap perkara penting dan dasar kerajaan.
Fadillah juga percaya media yang bebas dan bertanggungjawab adalah rakan strategik kerajaan dalam membina negara progresif, bersatu dan berdaya tahan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakan media tanah air atas komitmen dan pengorbanan kalian semua dalam melaksanakan amanah demi rakyat dan negara.
“Selamat Hari Wartawan Nasional 2025. Teruskan menyuarakan kebenaran. Teruslah menjadi suara rakyat. Terima kasih sekali lagi atas jasa dan pengorbanan kalian semua,” katanya.
Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook menyifatkan wartawan sebagai benteng integriti dan pencorak naratif kebangsaan yang diyakini dalam mendepani landskap digital masa kini.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengamal media tanah air yang sentiasa komited dalam menyampaikan maklumat dengan tepat, pantas serta beretika.
"Di sebalik setiap tajuk utama yang menggugah fikiran, berdirinya para wartawan yang menulis dengan keberanian dan jiwa yang penuh tanggungjawab.
"Ramai kenalan saya sendiri datang daripada kalangan wartawan. Saya menghormati ketekunan mereka, mengagumi prinsip mereka dan mengiktiraf pengorbanan mereka yang sering tidak kelihatan di balik tajuk dan layar berita," katanya.
Ahmad Zahid berharap seluruh pengamal media akan terus berkarya dengan suara membina serta pena yang jujur demi kewartawanan yang diberkati dengan kebijaksanaan dan ketelusan.
-- BERNAMA