JAKARTA, 30 Mei (Bernama-Xinhua) -- Peragawati melangkah penuh gaya di pentas peragaan Minggu Fesyen Indonesia (IFW) 2025 sekali gus mengubah pentas menjadi kanvas hidup yang mempamerkan kekayaan warisan kepulauan nusantara menerusi busana yang bermakna, di bawah cahaya lampu yang memukau dan irama muzik yang menggema.
Acara fesyen terbesar negara itu, menurut laporan Xinhua, berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Jakarta, menampilkan hasil kerja lebih 200 pereka dan penyertaan dari seluruh nusantara termasuk pertunjukan fesyen, pameran, forum kreatif dan bual bicara bagi menyokong ekosistem fesyen yang kompetitif, inklusif dan mampan.
Pereka fesyen dari Armenia serta seorang pereka jemputan dari Malaysia turut menyertai sambutan meriah fesyen budaya ini.
Satu daripada kemuncak IFW 2025 ialah koleksi oleh Essy Masita dari Yogyakarta bertajuk "Timeless Tradition". Koleksi beliau menggabungkan tekstil lurik dari Yogyakarta dan Jawa Tengah dengan fabrik warisan Indonesia lain seperti tenun Badui dari Banten, batik tulis dari Jawa, ulos dari budaya Batak di Sumatera Utara, serta tenun Sumba dari Nusa Tenggara Timur, semuanya diterjemahkan dalam siluet urban kontemporari.
Antara penampilan yang menyerlah ialah gaun berasaskan tenun Sumba yang dipadankan dengan jaket luar lurik panjang yang dihiasi rambu tenun asli satu gabungan kaya dengan estetika dan makna. Bagi Essy, tekstil tradisional Indonesia (wastra) bukan sekadar material, ia adalah medium penceritaan dan identiti budaya.
“Saya mahu generasi muda memakai wastra dengan bangga, bukan hanya semasa upacara tradisional, tetapi juga dalam kehidupan harian mereka,” katanya kepada Xinhua. Sejak 2000, Essy komited membawa wastra ke pentas fesyen arus perdana, bekerja terus dengan komuniti penenun tempatan untuk memastikan rantaian bekalan beretika yang memperkasakan wanita.
Beliau baru-baru ini memperagakan koleksinya di Minggu Fesyen Australia, selepas membuat penampilan di London, Milan, dan Paris.
Seorang lagi pereka terkenal, Yuni Pohan dari Sumatera Utara dengan koleksi bertajuk "Melayu Megapolitan", menampilkan 11 gaya yang menggabungkan kebaya tradisional Melayu Deli dan songket dari Medan bersama motif batik megamendung, corak bunga, reka bentuk pucuk buluh dan sulaman halus.
Yuni memilih wastra kerana percaya di sebalik setiap motif, tersembunyi falsafah kehidupan.
“Batik dan songket Melayu bukan sahaja indah. Ia menyampaikan cerita tentang hubungan manusia dengan alam, tentang cinta dan perjuangan. Contohnya, motif pucuk rebung melambangkan harapan, kesuburan, dan kerendahan hati,” jelasnya.
Kehadiran pereka seperti Essy dan Yuni membuktikan bahawa wastra Indonesia terus berkembang, tidak lagi terhad kepada pakaian tradisional, tetapi kini melangkah ke pentas fesyen global sebagai simbol identiti dan ekspresi kontemporari.
Poppy Dharsono, Pengerusi Persatuan Pereka dan Usahawan Fesyen Indonesia (APPMI) dan Presiden IFW 2025, menegaskan bahawa warisan Indonesia kaya dengan pelbagai tekstil dan perhiasan daripada ratusan etnik, dari songket Aceh dan tapis Lampung, hingga batik tangan Jawa dan Bali, serta tenun Papua.
Beliau menegaskan bahawa wastra ialah identiti budaya yang hidup dan terus berkembang dalam industri fesyen Indonesia, dengan setiap motif dan teknik mencerminkan falsafah mendalam serta kearifan tempatan.
“Fesyen bukan sekadar penampilan. Ia adalah bentuk ekspresi budaya dan identiti. Wastra Indonesia bukan sekadar kain, ia adalah warisan hidup yang terus dikembangkan oleh pereka kreatif,” kata Poppy.
Melalui Minggu Fesyen Indonesia, beliau berharap tekstil tradisional akan menjadi sumber inspirasi utama dalam fesyen moden bertaraf dunia, sambil mengekalkan nilai budaya dalam industri fesyen global.
-- BERNAMA-XINHUA