KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang akan berlangsung esok sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dijangka menjadi wadah perpaduan komuniti media serta memartabatkan seni pantun sebagai warisan bangsa yang tidak ternilai.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata pertandingan yang diadakan di Wisma Bernama itu disertai lapan pasukan yang masing-masing terdiri daripada empat pemantun melibatkan keseluruhan 32 peserta. Pertandingan akan dimulakan dengan peringkat saringan pada 9.15 pagi.
Arul Rajoo, yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025 berkata semua peserta digalakkan mengenakan pakaian tradisional bagi menyemarakkan suasana Pesta Pantun yang julung-julung kali dianjurkan Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaras dengan tema "Melayu Klasik Tradisional".
"Pertandingan ini mengetengahkan pantun empat kerat bertemakan bebas, kewartawanan dan perpaduan, dan akan berlangsung dalam tiga pusingan iaitu saringan, separuh akhir serta penentuan juara," katanya dalam kenyataan di sini.
Kumpulan A terdiri daripada pasukan Bernama, Media Prima, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Astro Radio News, manakala Kumpulan B melibatkan Malaysia Gazette, Jabatan Pengisian Islam TV3, Sinar Harian dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Antara barisan juri ialah Perancang Bahasa Akademi DBP Dr Faezah Muhayat; Perancang Bahasa DBP Wilayah Tengah Musazliza Mustan Shir; Perancang Bahasa merangkap Pegawai Khas Ketua Pengarah DBP Azimin Daud serta juru pantun tersohor Datuk Chuari Selamat.
Sementara itu, wakil Bernama, Fatin Najmi Mohammad Shah berkata meskipun sibuk dengan tugasan harian, setiap ahli pasukan tetap berusaha meluangkan masa untuk berlatih.
Beliau yang juga Ketua Meja MyCheck Malaysia (unit semakan fakta Bernama) berkata sebagai persediaan, mereka merujuk kepada penggunaan Bahasa Melayu klasik serta menonton video pantun dalam talian untuk memahami gaya penyampaian dan lenggok bahasa yang sesuai.
“Memang rasa gementar kerana lawan bukan calang-calang. Ramai antara mereka berpengalaman luas dalam dunia pantun,” katanya.
Seorang lagi wakil Bernama, Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi berkata persiapan pasukannya berjalan lancar walaupun sibuk dengan tugasan harian sebagai wartawan radio termasuk liputan Mesyuarat ASEAN ke-46 baru-baru ini.
"Walaupun kekangan masa dihadapi, saya tetap diberi peluang membuat persediaan dari segi kosa kata dan susunan ayat penting dalam penguasaan bahasa untuk berpantun.
"Kami telah menjalani beberapa sesi latihan. Walaupun tidak kerap, masa yang diperuntukkan sangat berkualiti dan kami saling membantu," katanya.
Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala naib juara RM2,000. Kedua-duanya turut menerima piala dan sijil. Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 berserta piala dan sijil, selain hadiah saguhati berupa hamper dan sijil penghargaan.
Kategori Pemantun Terbaik turut disediakan dengan hadiah wang tunai RM500, sebuah piala dan sijil, manakala DBP akan menyampaikan hadiah khas bagi busana terbaik kategori lelaki dan wanita.
Penyampaian hadiah kepada pemenang utama diadakan pada 14 Jun ini sempena sambutan kemuncak HAWANA 2025 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Selain Pesta Pantun, HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana turut menampilkan pelbagai acara termasuk majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun dan Forum Media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
Turut diadakan ialah Karnival dan Pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall selama dua hari bermula 13 Jun serta acara Sukan Media yang mengetengahkan elemen tradisional dan siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor.
-- BERNAMA