PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Pelancong dari enam negara ASEAN iaitu Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam serta Timor Leste digalakkan menggunakan kemudahan sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 bagi melancarkan proses pelepasan keluar dari Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemudahan itu mula dilaksanakan pada 15 Feb lepas sebagai persediaan menerima peningkatan jumlah pelancong antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
KDN memaklumkan langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, pantas dan berteraskan ihsan kepada rakyat serta pengembara asing.
“Perluasan ini turut mendukung semangat keterangkuman dan kerjasama serantau, terutama dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan pelancongan antara Malaysia dan negara ASEAN serta Timor Leste,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, kemudahan itu diberikan kepada 63 negara termasuk dua negara ASEAN iaitu Singapura dan Brunei.
Pengecualian turut diberikan kepada pemegang pasport dari negara yang tidak dilengkapi dengan cip, selaras dengan keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa untuk keselamatan dan pematuhan teknikal bagi membolehkan sistem pagar automatik mengesahkan identiti dengan tepat dan selamat.
-- BERNAMA