KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- FGV Holdings Bhd kembali mencatat keuntungan dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM36.48 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, berbanding kerugian bersih RM13.50 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil turut meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM5.04 bilion berbanding RM4.54 bilion dalam tempoh sama tahun lepas didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen perladangan, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu turut memaklumkan hasil tandan buah segar (FFB) meningkat enam peratus, manakala harga FFB mencatat kenaikan sebanyak 24 peratus.
Bagi prospek masa depan, FGV menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan beransur turun daripada paras semasa RM4,700 satu tan kepada sekitar RM4,000 satu tan dalam beberapa bulan akan datang.
Ia berikutan dengan peningkatan bekalan susulan cuaca yang lebih baik, kitaran pengeluaran bermusim yang lebih tinggi, serta ketiadaan permintaan berkaitan perayaan.
FGV berkata pihaknya kekal fokus terhadap usaha memperkukuh kecekapan operasi dan mengoptimumkan kos selaras dengan sasaran prestasi 2025.
“Dalam jangka masa terdekat, kumpulan akan terus meningkatkan hasil tanaman, memaksimumkan nilai daripada aset sedia ada dan memperluas kehadiran dalam pasaran pengguna domestik.
“Untuk jangka panjang, FGV sedang giat melaksanakan kepelbagaian portfolio melalui produk pengguna cepat laris (FMCG) bernilai tinggi dan penembusan pasaran antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA