EKONOMI

BURSA MALAYSIA MOHON MAKLUM BALAS MENGENAI CADANGAN PINDAAN PENYENARAIAN

29/05/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan kepada Syarat Penyenaraian (LR) Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP, termasuk pengemaskinian mengenai rangka kerja mekanisme penyelamatan korporat dan pengecualian transaksi pihak yang berkaitan.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata berikutan Akta Syarikat (Pindaan 2024), dua tambahan kategori mekanisme penyelamatan korporat -- pengurusan kehakiman (JM) dan pengaturan sukarela korporat (CVA) -- kini diperluaskan kepada penerbit yang tersenarai.

“Sehubungan itu, Bursa Malaysia mencadangkan untuk menghendaki penerbit yang disenaraikan segera mengumumkan kepada pasaran berhubung semua maklumat penting mengenai permohonan JM dan cadangan CVA.

“Ia bagi memastikan pelabur dimaklumkan mengenai sebarang keadaan berkaitan yang memberi kesan kepada penerbit yang disenaraikan dan bagi meningkatkan ketelusan,” menurutnya.

Sementara itu, Bursa Malaysia turut mencadangkan pengecualian bagi transaksi melibatkan rakan usaha sama (JV) kepada pemegang saham utama susulan daripada JV kecil supaya transaksi ini tidak lagi dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan.

Katanya pengecualian yang dicadangkan itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan langkah perlindungan sewajarnya bagi memastikan kepentingan pelabur tidak terjejas di samping meningkatkan keberkesanan urus niaga perniagaan.

“Cadangan penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Bursa Malaysia untuk memastikan LR kekal relevan sejajar dengan perkembangan semasa dalam landskap korporat dan pasaran modal melalui rangka kerja kawal selia yang seimbang dan sesuai,” menurutnya.

Butiran lanjut mengenai kertas perundingan dan cadangan pindaan terhadap LR boleh didapati di https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation.

Bursa Malaysia mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan pindaan berkenaan.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan pandangan kepada Bursa Malaysia menerusi ruangan “Table of Comments”  di pautan berkenaan selewat-lewatnya pada 10 Julai 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan