Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 28 Mei (Bernama) -- Indonesia dan Perancis akan memperkukuh hubungan strategik pertahanan mereka menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LoI) semasa lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Jakarta pada Rabu (28 Mei), menurut pegawai.
Perjanjian itu bertujuan memperluas kerjasama dalam bidang pertahanan, khususnya dalam sistem senjata strategik, kata Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin dalam satu kenyataan selepas menyambut ketibaan Macron dan Wanita Pertama, Brigitte Macron.
“Kami akan meningkatkan kerjasama pertahanan, terutamanya dalam peralatan pertahanan strategik,” kata Sjafrie.
Sebagai sebahagian daripada lawatan selama tiga hari yang berakhir Khamis, Macron dijadualkan mengunjungi Akademi Tentera di Magelang, Jawa Tengah dan meninjau kemudahan latihan bahasa Perancis untuk anggota tentera Indonesia.
“Beliau akan melawat makmal bahasa Perancis yang digunakan oleh tentera, pegawai dan pegawai tidak bertauliah dari Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Ramai daripada mereka sudah fasih,” kata Sjafrie.
Pesawat yang membawa Macron mendarat di Jakarta sekitar 10 pagi waktu tempatan pada Selasa.
Lawatan itu menandakan usaha berterusan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dalam sektor strategik utama, dengan kerjasama pertahanan menjadi agenda utama.
-- BERNAMA