JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) -- Sebanyak 230 ekor lembu dikurniakan untuk ibadah korban oleh Keluarga Diraja Johor kepada golongan yang memerlukan bersempena Aidiladha.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz berkata kurniaan tersebut kerana bukan sahaja meringankan beban penerima tetapi turut menyemarakkan semangat pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang dalam kalangan bangsa Johor.
Beliau menyifatkan pengurniaan itu sebagai semangat Aidiladha yang sebenar iaitu memperkukuhkan silaturrahim dan menyalurkan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, serta seluruh Keluarga DiRaja Johor atas kurniaan sebanyak 230 ekor lembu korban kepada rakyat Johor, khususnya kepada golongan yang memerlukan, sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H / 2025M.
"Patik serta seluruh rakyat jelata, khususnya warga Machap dan Simpang Renggam, sentiasa mendoakan semoga Tuanku sekeluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dipanjangkan usia, serta terus memimpin negeri Johor Darul Ta'zim dan negara Malaysia dengan penuh kebijaksanaan, keamanan dan kemakmuran," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
--BERNAMA