KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sentimen perniagaan Malaysia kekal optimistik pada suku kedua 2025, dicerminkan oleh petunjuk keyakinan positif sebanyak 2.0 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata prestasi positif itu mencerminkan sentimen optimistik berterusan berbanding 3.2 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut DOSM, perkhidmatan, pembinaan dan industri merupakan sektor yang menjangkakan keadaan perniagaan yang stabil pada suku kedua 2025.
“Keyakinan dalam sektor perkhidmatan kekal positif dengan petunjuk keyakinan 6.9 peratus berbanding 13.5 peratus pada suku sebelumnya.
“Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor pembinaan kekal menggalakkan dengan 4.6 peratus berbanding 12.5 peratus pada suku pertama 2025,” menurut DOSM.
Menurut kenyataan itu, sektor industri terus menunjukkan prospek perniagaan yang optimistik dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 0.2 peratus pada suku sebelumnya.
Sebaliknya, sentimen dalam sektor perdagangan borong dan runcit menunjukkan keadaan pesimis, dengan petunjuk keyakinan 6.7 peratus pada suku kedua 2025 daripada 8.1 peratus sebelumnya, katanya.
Petunjuk keyakinan menunjukkan prestasi yang bercampur dalam kalangan negeri di Malaysia dengan negeri yang mencatatkan sentimen optimis adalah Johor (1.5 peratus), Kedah (4.3 peratus), Perlis (3.5 peratus), Terengganu (18.0 peratus), Kuala Lumpur (0.9 peratus) dan Putrajaya (3.7 peratus).
Sebahagian besar negeri menunjukkan sentimen pesimis iaitu Kelantan (-7.8 peratus), Melaka (-2.0 peratus), Negeri Sembilan (-1.2 peratus), Pahang (-4.5 peratus), Pulau Pinang (-5.1 peratus), Perak (-6.3 peratus), Selangor (-1.2 peratus), Sabah (-0.3 peratus), Sarawak (-2.9 peratus) dan Labuan (-3.9 peratus).
-- BERNAMA