GEORGE TOWN, 6 Jun (Bernama) -- Sebuah jejambat marin sepanjang 380 meter menghubungkan kawasan Selatan Pulau Pinang dengan Pulau Silikon akan dibina dengan jangkaan dibuka kepada orang awam menjelang Disember 2028, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Jejambat itu adalah komponen utama projek Pan Island Link 2A (PIL2A) dan merupakan inisiatif infrastruktur strategik bagi memperkukuh kesalinghubungan antara Pulau Silikon dengan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua), selain menyokong pertumbuhan bandar jangka panjang masa depan.
Chow berkata kerja pembinaan jejambat empat lorong itu bermula bulan ini dengan fasa pertama dijangka siap pada pertengahan 2027 bagi menyokong pembukaan kilang pertama beroperasi di Pulau Silikon pada tahun sama.
“Kos keseluruhan bagi PIL2A fasa satu ialah RM390 juta dan meliputi pembinaan infrastruktur sepanjang 1.5 kilometer bagi menghubungkan kawasan daratan di Permatang Damar Laut ke Pulau Silikon, termasuk jejambat marin kekal sepanjang 380 meter.
“Komponen PIL2A fasa satu juga akan menyambungkan Pulau Silikon dengan Jambatan Kedua di Bulatan Batu Maung dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang melalui pembinaan lebuh raya bertingkat bagi meningkatan kesalinghubungan,” katanya.
Chow berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan pembangunan Pulau Silikon yang kini mencapai keluasan 64.75 hektar, selain kontraktor terlibat telah siap membina jambatan sementara sepanjang 378 meter bagi menyediakan akses untuk kerja pembinaan dan infrastruktur.
Beliau juga memaklumkan sebuah hab komuniti termasuk Medan Selera Matang akan dibina di Permatang Damar Laut menghadap Pulau Silikon, bagi memastikan pihak terkesan khususnya peniaga gerai makanan dapat ditempatkan semula, sekali gus mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri.
“Pembangunan hab komuniti di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar ini juga merangkumi sebuah dewan baharu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pusat perkhidmatan setempat nelayan, gerai makanan dan restoran serta bangsal untuk kegunaan nelayan,” katanya.
Chow berkata bagi menyokong keperluan awal bekalan air Pulau Silikon, sebuah tangki sedutan dan rumah pam dibina di tanah bersebelahan Medan Selera Matang dengan kerja pembinaan bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus memaklumkan jumlah kos pembinaan bagi kemudahan komuniti, rumah pam dan tangki sedutan itu dianggarkan sebanyak RM36 juta.
“Kemudahan (hab komuniti) ini diharapkan akan menjadi destinasi baharu yang meriah dan bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong bagi menyokong sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Pulau Silikon dengan keluasan tanah 930.78 hektar ialah projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang dengan kali pertama kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
-- BERNAMA