AM

BANCI PERTANIAN 2024: KENAF, NAPIER, RUMPAI LAUT DIKENAL PASTI TANAMAN BERPOTENSI TINGGI - DOSM

29/05/2025 07:45 PM

SERDANG, 29 Mei (Bernama) -- Dapatan Banci Pertanian 2024 menunjukkan terdapat potensi dalam penanaman tanaman baharu seperti kenaf, napier dan rumpai laut, menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata dapatan itu juga menunjukkan kenaf mencatatkan keluasan tanaman sebanyak 1,497.0 hektar dengan pengeluaran 9,916.1 tan metrik, manakala napier direkodkan berkeluasan 1,387.7 hektar dan pengeluaran 35,687 tan metrik.

“Industri-industri ini mempunyai potensi besar dari segi nilai tambah, eksport dan pengeluaran produk hiliran, dengan rantaian bekalan perlu diperkukuh bagi memacu pertumbuhan segmen ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 hari ini.

Mohd Uzir berkata industri tanaman seperti kopi, kelapa dan koko juga menunjukkan penurunan dari segi keluasan tanaman, produktiviti dan bilangan usahawan aktif, bagaimanapun industri itu masih mempunyai nilai strategik yang penting dan boleh dipulihkan melalui pendekatan moden, terancang dan bersepadu.

Sebagai contoh, katanya varieti kopi tempatan masih mendapat perhatian antarabangsa berikutan permintaan global terhadap kopi berkualiti tinggi.

Koko, yang dahulunya antara eksport utama negara kini hanya memainkan peranan kecil dalam sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi.

“Bagi industri kelapa, walaupun tidak lagi dianggap kompetitif, potensinya dalam menghasilkan produk nilai tambah tidak boleh diabaikan. Pemulihan industri ini boleh dicapai melalui mekanisasi dan pemodenan ladang untuk mengubah persepsi bahawa kelapa adalah tanaman tradisional kepada tanaman yang menguntungkan,” katanya.

Selain tanaman komoditi, buah-buahan dan sayur-sayuran, banci pertanian turut meliputi tanaman industri, tanaman kontan dan tanaman herba yang dikelaskan di dalam aktiviti tanaman lain.

Bagi sektor perikanan tangkapan, Mohd Uzir berkata ia merupakan satu daripada sektor utama dalam industri perikanan Malaysia yang menyumbang kepada bekalan ikan domestik serta eksport ke luar negara.

“Kedah dan Pulau Pinang merupakan negeri utama bagi perikanan tangkapan di pantai barat laut dengan jumlah pendaratan ikan yang tinggi, iaitu terkenal dengan perikanan laut dalam serta pendaratan ikan pelagik seperti kembung, selar dan tongkol,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya banci itu juga menunjukkan jumlah pegangan pertanian individu terdiri daripada 753,139 lelaki (74.7 peratus), manakala 255,690 (25.3 peratus) adalah perempuan.

Sebagai langkah seterusnya, Mohd Uzir berkata sesi libat urus akan dianjurkan bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan dapatan banci berkenaan.

“Sesi ini berperanan sebagai platform untuk membincangkan isu berkaitan pertanian termasuk mengenai keterjaminan makanan dan diharap semua pihak dapat memanfaatkan statistik pertanian sepenuhnya dalam pembuatan keputusan serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan