EKONOMI

KEUNTUNGAN BERSIH MAYBANK PADA RM2.59 BILION, DIPACU PERBANKAN KORPORAT

26/05/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) telah meningkat kepada RM2.59 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berbanding RM2.49 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini selepas dipacu oleh segmen perbankan korporat dan pasaran global.

Pendapatan bagi suku tahun yang ditinjau menyusut kepada RM16.87 bilion daripada RM18.35 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan perbankan Islam serta hasil faedah bersih kumpulan bagi suku tahun yang ditinjau pula bertambah sebanyak RM42.2 juta atau 0.8 peratus kepada RM5.286.6 juta.

Perkhidmatan insurans/takaful kumpulan menokok sebanyak RM289.3 juta kepada RM471.4 juta berbanding suku pertama tahun kewangan 2024.

Maybank berkata pendapatan operasi lain kumpulan berada pada RM2.09 bilion, penurunan sebanyak RM768.5 juta atau 26.8 peratus daripada RM2.87 bilion sebelum ini disebabkan oleh kerugian yang tidak direalisasikan ke atas penilaian semula pelaburan kewangan melalui keuntungan atau kerugian (FVTPL) sebanyak RM765.6 juta berbanding keuntungan yang tidak direalisasikan berjumlah RM761.1 juta dalam tahun sebelumnya.

Kerugian ini juga didorong oleh kerugian yang tidak direalisasikan atas penilaian semula liabiliti kewangan FVTPL sebanyak RM374.6 juta berbanding RM995.5 juta sebelum ini dan pendapatan pelaburan yang lebih rendah sebanyak RM161.3 juta.

"Penurunan ini telah diimbangi oleh keuntungan yang tidak direalisasikan ke atas penilaian semula derivatif sebanyak RM816.0 juta daripada RM1.14 bilion selain keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi sebanyak RM498.9 juta.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan ia akan terus menggandakan penembusan pangkalan pelanggannya melalui fokus pada segmen, usaha jualan silang dan memanfaatkan perkongsian ekosistem secara serantau.

"Kami juga akan memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan berkaitan segmen pengurusan kekayaan, permodalan pasaran pertengahan, bukan runcit dan insurans bank sambil meneroka ke dalam aliran pasaran global," katanya.

Maybank juga berusaha untuk mengekalkan kecairan yang baik, kualiti aset yang mantap dan tahap modal yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan aset yang berdisiplin. 

"Ketidaktentuan disekitar perdagangan yang berpotensi, bagaimanapun, mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan serta prestasi kumpulan, keadaan ini datang daripada pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan, pendirian 'tunggu dan lihat' oleh pelabur termasuk aktiviti permodalan dan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan," katanya lagi.

Tiada dividen interim disyorkan untuk suku pertama tahun kewangan 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli melaui satu kenyataan berasingan berkata bank itu terus menyampaikan pertumbuhan pendapatan yang terpuji untuk suku pertama tahun kewangan 2025 yang disokong oleh margin faedah bersih yang stabil, kualiti aset yang lebih baik serta pengurusan kos disiplin, walaupun terdapat cabaran makroekonomi global yang berterusan.

Kumpulan itu tetap berdaya tahan, disokong oleh strategi perniagaan yang berfokus selain pelaksanaan yang berdisiplin dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang.

"Unjuran ekonomi global masih tidak menentu. Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan dalam pasaran yang kami beroperasi akan berterusan. Kuncinya adalah untuk menyokong pelanggan kami, terutama yang memerlukan, dalam tempoh yang mencabar ini. 

"Pada masa yang sama, kami terus mengukuhkan kedudukan kami di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan peluang intra-ASEAN serta ASEAN+, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan sambungan rentas sempadan," katanya.

Khairussaleh berkata fokus Maybank dalam usaha untuk memuktamadkan strategi korporatnya yang dikenali sebagai M25+ tetap teguh memandangkan ia terus memacu kemajuan yang bermakna pada teras strategiknya, memantapkan teras bank, mempercepatkan transformasi digital dan menyemai kemampanan.

"Kami amat didorong oleh impak yang semakin meningkat dari penyelesaian berasaskan nilai kami, yang terus mewujudkan manfaat ketara ke atas pelanggan kami, sambil memberikan kesan sosial yang positif dan hasil alam sekitar di seluruh pasaran yang menerima khidmat kami," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan