AM

PM ANWAR PUAS HATI PERSIAPAN RAPI SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-46

26/05/2025 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan persiapan dan usaha rapi yang dilakukan oleh semua pihak termasuk pelbagai kementerian dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Bercakap kepada pemberita di sini malam ini, Anwar berkata beliau menghargai pergorbanan semua pegawai yang bertungkus lumus memastikan kelancaran persidangan.  

Ini termasuk dari segi persiapan logistik oleh pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan pasukan keselamatan.

“Saya bangga dan mudah-mudahan semuanya dalam keadaan baik. Kemudian secara substantif pun, kita dah cuba berbincang semua isu kerana ini (sidang kemuncak) lebih rumit kerana kita ada ASEAN, GCC dan China,” katanya selepas meluangkan masa lebih sejam dalam Mesyuarat Pra-Majlis ASEAN malam ini.

Mesyuarat itu adalah untuk menyelaraskan agenda sebelum sidang kemuncak berlangsung esok.

Turut menghadiri mesyuarat itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang akan bermula esok, menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.

Dianjurkan di bawah kepengerusian Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak tahun ini akan menyaksikan penyertaan ketua-ketua kerajaan dari semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar dan Timor Leste sebagai negara pemerhati.

Ia akan bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN (Plenari) ke-46 dipengerusikan Anwar yang akan membincangkan isu-isu serantau utama seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan maritim, perubahan iklim dan ekonomi digital.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan