KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kekukuhan daya tahan ASEAN yang luar biasa walaupun menghadapi tekanan terhadap sistem perdagangan global, yang sebahagian besarnya adalah hasil daripada pelbagai pencapaian kumpulan itu, termasuk penubuhan Komuniti Asean, dan lebih penting lagi keupayaannya untuk menyelesaikan pelbagai isu secara kolektif.
“Pencapaian ini menawarkan rasa optimis baharu dan keyakinan bagi ASEAN, yang terbit daripada daya tahan luar biasa berlatarbelakangkan perkembangan global yang semakin kompleks dan membimbangkan,” kata Anwar, yang merupakan Pengerusi semasa bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, hari ini.
Berucap di hadapan rakan pemimpin perkumpulan 10 negara itu, beliau berkata Malaysia berbesar hati untuk mempengerusikan ASEAN tahun ini, yang merupakan tahun yang sangat penting.
“Satu dekad berlalu sejak penubuhan Komuniti ASEAN, mengundang refleksi dan pembaharuan, (dan) pada masa yang sama, kita akan menerima pakai Visi 20 tahun yang berpandangan jauh ke hadapan, menuntut komitmen tidak berbelah bahagi dan keazaman kolektif kita,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang menampilkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
“Memang jelas, peralihan dalam aturan geopolitik sedang berlangsung, dan sistem perdagangan global semakin tegang, dengan pengenaan tarif unilateral Amerika Syarikat baru-baru ini,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata "Dasar Perlindungan bangkit semula semasa kita menjadi saksi kepada multilateralisme yan memecah-belahkan."
“Bagaimanapun kita berterima kasih atas semangat persaudaraan dan pemusatan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN yang dapat membentuk barisan bersama dalam menangani cabaran-cabaran ini.
“Apa yang perlu diberi perhatian adalah tindak balas pantas kita dalam menangani tarif Amerika Syarikat dengan penubuhan Pasukan Petugas Geo-ekonomi ASEAN sebagai langkah yang perlu, bukan sahaja untuk penyelarasan, tetapi untuk menunjukkan resolusi dan keyakinan,” kata Perdana Menteri.
Pasukan Petugas itu mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan tentang prospek ekonomi serantau, termasuk situasi terkini dengan dasar tarif unilateral Amerika Syarikat, inisiatif nasional dan langkah ke hadapan.
Anwar berkata perlu diingat bahawa ASEAN mengambil sikap tidak membalas tindakan berhubung tarif AS, yang kini telah dijeda, manakala banyak lagi yang lain iaitu, China, Kanada dan Kesatuan Eropah bertindak balas dengan cara yang lebih bersifat konfrontasi.
Pemimpin ASEAN yang hadir terdiri daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmão sebagai pemerhati serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini bersama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, yang menjadi platform penting untuk memperluaskan kerjasama serantau dan antara wilayah.
-- BERNAMA